Autodesk pelengkap animasi

Rekaan imej tiga dimensi (3D) semakin popular di kalangan para peminat animasi. Setiap perisian yang ingin digunakan menjadi keutamaan bagi penggiat 3D untuk mendapatkan hasil yang berkualiti tinggi.



TELATAH karakter filem animasi Upin & Ipin ternyata telah menghiburkan ramai penonton yang menyaksikannya. Meskipun menampilkan watak kanak-kanak, ia telah berjaya diterima oleh seluruh lapisan masyarakat.
Mungkin kejayaan Upin & Ipin ini perlu dilihat sebagai pencetus semangat baru kepada penggiat animasi untuk mencorak kegemilangan filem animasi di negara ini.
Kekuatan jenama Upin & Ipin ternyata sukar digugat, apatah lagi filem pertama Geng: Pengembaraan Bermula yang ditayangkan di pawagam bermula 12 Februari hingga 1 April lalu mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM6.3 juta.

FUAD (kanan) bersama CS Tan (tengah) dan Mohd. Hafiz Hanafiah ketika pelancaran perisian Autodesk.


Namun, di sebalik kejayaan yang telah diraih itu, produksi Upin & Ipin tidak keberatan untuk menceritakan serba sedikit mengenai teknologi canggih imej tiga dimensi (3D) yang digunakan filem tersebut sehingga ia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Teknologi animasi yang kami gunakan sebelum terhasilnya filem ialah perisian Autodesk Maya. Salah satu tujuan kami memilih perisian ini kerana ia mudah. Lagi pun kami sudah berpengalaman menggunakannya sebelum ini," beritahu Ketua Pereka Las Copaque, Fuad Md. Din pada sidang media perisian animasi Autodesk di Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

FUAD MD. DIN


Memuji perisian Autodesk yang dikatakan sudah lengkap bagi sesiapa yang ingin menghasilkan filem animasi bermutu tinggi, Fuad menjelaskan dengan melaksanakan empat aspek iaitu modeling, rigging, animation dan rendering maka terhasil filem animasi itu.
Dalam aspek modeling atau pengwujudan karakter, pembentukan anggota badan adalah penting sebelum ia diteruskan dengan penghasilan perkara lain seperti pakaian dan sebagainya.



Bagaimanapun ciri ketelitian tidak boleh diabaikan kerana watak yang ditampilkan dalam filem itu penuh variasi. Ini kerana ia memaparkan pelbagai kaum seperti Melayu, India dan Cina.
"Kita terapkan banyak watak di dalam filem ini. Jika ditonton semula, filem Upin & Ipin turut menggunakan banyak watak binatang dan tumbuh-tumbuhan. Jadi, ia memerlukan banyak model iaitu sehingga mencapai 100 model 3D," ujarnya.
Proses rigging pula, dilaksanakan untuk memudahkan para artis grafik membentuk tulang pada setiap watak yang ingin dimainkan. Tujuannya mudah sahaja, iaitu untuk menggerakkan seluruh anggota badan.
Apabila menggunakan perisian Maya, ia langsung tidak menyusahkan para penggunanya kerana dalam beberapa minit sahaja hasil sudah siap sepenuhnya.
Kebiasaannya dengan menggunakan perisian grafik yang lain, anda mungkin perlu menyiapkan lukisan tulang yang ingin digunakan dalam karakter. Ia boleh mengambil masa sehingga beberapa hari.
"Perisian ini memang mempercepatkan proses pembikinan watak. Untuk menghasilkan tulang yang ingin dimasukkan ke dalam watak, anda hanya perlu klik sahaja.
"Malah ia boleh digunakan untuk kesemua watak yang mempunyai tulang," beritahunya secara ringkas.

FILEM Upin & Ipin banyak menggunakan perisian Autodesk Maya yang setanding dengan filem animasi antarabangsa.


Dalam pada itu, untuk menghasilkan bayang-bayang realistik seperti pergerakan udara, paint effect yang dimuatkan di dalam Autodesk Maya sudah cukup memberi kepuasan dalam penghasilan animasi Upin & Ipin.
Sementara itu, Pengurus Autodesk Malaysia, CS Tan pula memberitahu, industri digital bagi menghasilkan grafik 3D kini semakin mendapat sambutan memberangsangkan.
Malah, ramai antara mereka yang ingin menghasilkan animasi akan memilih perisian yang lengkap dan ditawarkan pada harga berpatutan.
Proses tempoh pembikinan juga menjadi salah satu faktor terpenting. Sebabnya, para penerbit animasi lebih senang mendapatkan perisian yang mesra pengguna dan pantas.
"Para pereka grafik atau animasi masa kini tahu untuk memilih perisian yang sesuai dengan hasil kerja mereka. Jadi dengan adanya pelbagai perisian Autodesk mereka mempunyai banyak pilihan bagi menghasilkan idea lebih kreatif yang berkualiti," jelasnya.



Dalam masa yang sama, Autodesk juga telah menghasilkan perisian baru iaitu Autodesk Entertainment Creation Suites dan Autodesk Real-Time Animation Suites.
Kelebihannya ialah syarikat pembikinan filem animasi atau grafik mampu mencapai penjimatan kos sehingga 35 peratus.
Kesemua produk terbaru ini memberi pengalaman baru dan impak yang menakjubkan kepada dunia animasi 3D. Terutama apabila menghasilkan filem, permainan video dan industri reka bentuk.

.:::Pengunjung Hari Ini:::.

Jam

Your website value?

Follow Me(" ,)

statistic

free counters

Belajar Buat Blog

Tips & Trick blogspot

UNIC